Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.
"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.
Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."
Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya. " Pokok epal itu memberikan cadangan.
Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.
"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.
Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.
Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.
"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.
"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.
Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.
CERITA INI SENGAJA DIPAPARKAN UNTUK MENGAJAK PARA REMAJA BERFIKIR TENTANG PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA TERSEBUT. SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG DIMAKSUDKAN DI DALAM CERITA ITU ADALAH KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APA SAHAJA ASALKAN KITA BAHAGIA DAN GEMBIRA DALAM HIDUP. ANDA MUNGKIN TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITU HAKIKATNYA BAGAIMANA KEBANYAKAN ANAK-ANAK MASA KINI MELAYAN IBU BAPA MEREKA. HARGAILAH JASA IBU BAPA
KEPADA KITA. JANGAN HANYA KITA MENGHARGAI MEREKA SEMASA MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI BAPA SETIAP TAHUN.
SEMOGA CERITA INI MEMBERIKAN KEINSAFAN DAN KESEDARAN KEPADA REMAJA KITA
Nilai sebuah persahabatan
Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://www.ukhwah.com/
Begitu mudah untuk mencari teman bergembira tetapi terlalu sukar untuk mencari teman berkongsi duka. Seandainya masih ingat bait-bait lagu Hijjaz tentang kawan. Dipaparkan di sini satu kisah untuk renungan bersama. Terdapat tiga orang sahabat yang bersama-sama ke mana sahaja ketika dalam pengajian di kampus. Mereka menyertai sebuah persatuan yang sama.
Pada hari terakhir di kampus, masing-masing menyatakan hala tuju hidup selepas ini. Dua daripada mereka telah bersetuju untuk bersama-sama bekerja di Selangor. Namun, sahabat yang seorang lagi telah mengambil keputusan untuk kembali ke negeri sendiri dan bekerja di sana. Kedua-dua sahabat ini kecewa kerana sahabatnya ini ingin meninggalkan mereka dan seolah-olah apa yang dirancang sebelum ini adalah sia-sia.
Tiada siapa menyangka, setahun kemudian sahabat ini kembali berjumpa mereka dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu. Kedua-dua orang sahabat ini malu dengan diri sendiri kerana berprasangka terhadap sahabatnya. Ukhwah mereka kembali bertaut lantaran kemanisan ukhwah yang dikecap. Kerana kasih sayang yang ada dalam diri mereka. Di mana sekalipun kita berada, sahabat tetap diingati dalam doa. Yang paling penting, ikatan yang dibina adalah kerana –Nya.
Kasih sayang merupakan asas kepada ketenangan. Islam sendiri menekankan konsep kekeluargaan sebagai asas tarbiah yang membolehkan terjalinnya ikatan kasih sayang. Sekiranya kita imbau kenangan lalu bersama teman-teman sudah pasti ia masih terpatri dalam ingatan sekalipun telah bertahun tidak berjumpa. Ikatan kasih sayang sebenarnya dapat menjana kekuatan ingatan. Sehubungan dengan itu, walau jarak memisahkan hubungan kekeluargaan dan ikatan persahabatan masih utuh.
Menyingkap kisah Nabi Yusuf wajar diambil iktibar oleh semua. Bagaimana Nabi Yusuf ditinggalkan oleh adik beradiknya dalam perigi. Ditakdirkan Allah baginda diambil oleh sekumpulan musafir dan dijual kepada raja Mesir. Baginda dianugerahkan kepakaran mentafsir mimpi. Melihat kepada kejujuran dan kepakaran yang ada pada Nabi Yusuf, raja telah melantik baginda sebagai Menteri Kewangan. Ketika memegang jawatan ini, baginda ditakdirkan bertemu semula dengan saudara mara dan kedua ibu bapanya. Lantas mengikat kembali ikatan silatulrahim yang sedia terjalin. Dari kisah ini, Allah berfirman yang bermaksud :
“Maka ketika mereka membawanya dan sepakat memasukkannya ke dasar perigi, dan Kami wahyukan kepada Yusuf : Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan ini, sedang mereka tidak ingat lagi.” (SurahYusuf :15)
Bagi seorang ayah, bau badan anaknya masih segar di ingatan. Sepertimana firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud :
“Pergilah kamu dengan membawa baju hamisku ini, maka letakkanlah ia ke wajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku. Ketik kafilah itu keluar (dari Mesir). Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf, sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal (tentu kamu membenarkan aku).”
(Surah Yusuf :93-94)
Sungguhpun lama terpisah, ingatan Nabi Yaakub cukup kuat terhadap Nabi Yusuf iaitu anak kesayangnnya. Bagi Nabi Yusuf, perancangan negatif saudara mara ke atasnya masih segar dalam ingatan. Sirah ini memberikan petunjuk penting kepada kita dalam menjana kekuatan ingatan yang berteraskan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Terasnya ialah perasaaan cinta dan kasih sayang, penyerahan diri kepada Tuhan dan kesediaan menempuh cabaran hidup dengan positif.
Dalam konteks kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat. Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.
Dalam meniti hari-hari yang mendatang, adakalanya tekanan melanda diri. Lantaran beban kerja yang menimbun dan masalah yang bertali arus datang dan pergi. Tika ini sahabat diperlukan untuk mencurahkan isi hati yang terpendam. Bersama renungkan analogi ini. Sekumpulan alumni yang mempunyai kerjaya yang mantap mengadakan pertemuan di rumah seorang profesor. Masing-masing menceritakan kehidupan dan tekanan kerja dan keluarga yang dihadapi. Mendengar luahan hati mereka, profesor tadi segera bangun menuju ke dapur. Kembali dengan membawa teko besar berisi air kopi dan pelbagai jenis cawan dan gelas. Ada yang diperbuat dari porselin, plastik, kaca dan kristal.
Profesor tadi menyuruh menyuruh mereka menuang sendiri kopi tersebut. Setelah semua bekas pelajarnya mengambil kopi masing-masing, profesor itu berkata : “ Jika anda semua perasan, semua cawan yang cantik dan mahal telah diambil dan meninggalkan cawan yang biasa dan kelihatan murah. Ini adalah keadaan yang biasa di mana anda semua mahukan yang terbaik dalam hidup anda, tetapi itulah punca kepada masalah dan ‘stress’ yang anda semua hadapi.
Apa yang sebenarnya diperlukan hanyalah kopi, bukan cawannya tetapi anda sendiri telah memilih untuk mengambil cawan yang terbaik. Dan lebih teruk lagi anda memerhatikan cawan yang diambil oleh orang lain. Kehidupan diibaratkan seperti kopi. Kerjaya, wang dan masyarakat adalah cawan tersebut. Cawan sekadar alat untuk mengisi kandungannya iaitu kehidupan. Kehidupan tidak berubah dan hanya alat yang berubah. Kadangkala kita terlalu fokus kepada cawan yang dipegang sehingga gagal untuk menikmati kopi tersebut.
Bagaimana penulis ingin mengaitkan dalam apa situasi sekalipun kita memerlukan seseorang untuk mendengar dan memberikan sokongan di kala diri lemah. Bagaimana pelajar-pelajar tadi saling memerlukan antara mereka. Sebagai penasihat dan pembimbing tika diri sedang leka dibuai mimpi indah. Oleh itu, janganlah mengabaikan atau memutuskan ukhwah yang terjalin kerana kesibukan duniawi. Hargailah sahabat yang berada di sekeliling kita.
Teliti kembali, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sahabat sebaik mungkin. Atau sekadar teman untuk minum kopi dan teh sahaja. Renungi diri. Jadilah sahabat yang baik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Jujurlah dalam bersahabat. Sebelum meneruskan persahabatan yang mendalam mohonlah petunjuk Allah agar tidak tersalah pilih. Terimalah sahabat anda sebaiknya dan maafkanlah kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Persahabatan yang dijalin kerana Allah pasti berkekalan. Nilai sebuah persahabatan itu tidak mampu dibeli dengan wang dan harta lantaran harganya yang tidak terungkap.